BATU PAHAT: Senggarang dijangka muncul sebagai pengeluar utama ayam kampung di daerah ini apabila projek ternakan berkelompok membabitkan 40 penduduk kampung di kawasan itu, matang dalam tempoh tiga bulan lagi.
Selain menjadi pengeluar utama, kawasan itu juga akan menjadi pusat pemasaran ayam kampung dengan adanya sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan yang dikendalikan Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang yang akan dibuka di Taman Senggarang 2.
Bagi memastikan pemasaran ayam kampung yang diternak penduduk kampung itu dijalankan dengan teratur, JPMM DUN Senggarang menggariskan empat langkah perlu yang diyakini mampu mengatasi masalah lambakan hasil ternakan itu.
Langkah pertama yang diambil ialah menyediakan pusat pengumpulan ayam untuk diedarkan di pasaran yang lebih luas. Kedua, memastikan semua pengusaha kedai memproses ayam segar turut menjual ayam kampung manakala ketiga, mempelawa pengusaha kedai makan memasak ayam kampung sebagai menu serta keempat, menawarkan ayam kampung sebagai hidangan pada majlis kenduri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggarang, Ja'affar Hashim, berkata beliau yakin dengan kaedah pemasaran yang lebih tersusun, projek ternakan ayam kampung di kawasan itu akan lebih berjaya.
Beliau berkata, pihaknya sudah membuat perancangan rapi bagi membantu penternak ayam kampung di kawasan terbabit dan hasilnya dijangka dapat dilihat apabila kumpulan pertama ayam kampung yang diternak menerusi projek ternakan berkelompok itu matang dalam tempoh tiga bulan lagi.
"Kami membeli sebuah rumah kedai di Taman Senggarang 2 untuk dijadikan pusat pengumpulan ayam. Selain mengumpulkan ayam untuk diedar segar, di sana nanti ayam kampung juga akan diproses untuk produk sejuk beku.
"Kami juga sudah berbincang dengan pengusaha kedai memproses ayam dan kami akan membina reban transit untuk menempatkan ayam kampung di kedai mereka. Ini bermakna orang ramai boleh mendapatkan ayam kampung di kedai mereka bila-bila masa kerana stok akan sentiasa diisi," katanya selepas menyerahkan 1,000 anak ayam kampung kepada 40 peserta ternakan berkelompok di kawasan Senggarang, baru-baru ini.
Selain anak ayam, peserta turut menerima bantuan makanan ayam, palong air dan makanan, ubat anti stress, EM dan antibiotik.
Ja'affar berkata, beliau yakin dengan kaedah pemasaran yang lebih tersusun projek ternakan ayam kampung itu akan lebih berjaya berbanding projek ternakan ikan keli dan tanaman serai wangi yang dijalankan sebelum ini.
"Dalam soal penjualan ayam kampung di kedai makan dan restoran, kami sudah mengenal pasti 14 pengusaha di Senggarang yang akan menyediakan menu ayam kampung sebagai hidangan mereka. Kami juga akan menggalakkan penduduk di kawasan ini menggunakan ayam kampung untuk juadah kenduri," katanya.
Katanya, pihaknya berusaha sedaya upaya membantu memasarkan ayam kampung itu dan hasilnya akan diserahkan sepenuhnya kepada penternak yang terbabit dalam projek ternakan berkelompok itu.
"Projek ini yang dijalankan dengan bantuan sepenuhnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebenarnya bertujuan menambah pendapatan peserta," katanya.
Selain membantu menjalankan pemasaran, Ja'affar berkata, JPMM DUN Senggarang juga melantik dua petugas khas bagi memantau kelancaran projek berkenaan.
"Petugas ini akan melakukan lawatan empat kali seminggu iaitu Isnin hingga Khamis ke rumah peserta projek untuk memantau perjalanan projek serta mengesan sebarang masalah dan pada hari Jumaat mereka akan menyediakan laporan untuk memudahkan tindakan diambil.
"Pemantauan berterusan ini akan memastikan projek ini lebih berjaya, tidak seperti projek lain sebelum ini yang dibiarkan sepenuhnya dijalankan oleh peserta, tanpa pemantauan berterusan daripada penganjur," katanya.
Seorang peserta projek ternakan berkelompok itu, Md Supadil Ismail, 60, berkata beliau yakin projek ternakan ayam kampung itu akan berjaya sekali gus mampu menambahkan pendapatan penduduk kampung.
"Saya juga sudah biasa menternak ayam kampung dan tahu serba sedikit kaedah penjagaannya tetapi sebelum ini kami hanya menternak secara kecil-kecilan.
"Saya yakin dengan pemasaran yang lebih tersusun yang dikendalikan oleh JPMM DUN Senggarang, projek ini akan mencapai matlamat membantu penduduk di kawasan ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
Kuliah kpj.
13 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan